Penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz, dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Negara Singapura, hari ini, selepas dia didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Difahamkan, pelakon kontroversi itu mengaku bersalah di mahkamah di atas dua pertuduhan itu pada 7 Ogos lalu.

Aliff didakwa mencuri wang sebanyak RM915 dan RM285 milik pelakon dan ahli politik Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri, di dalam bilik sebuah hotel di Nanson Road berdekatan Havelock Road, Singapura.

Mereka dikatakan bertemu bagi membincangkan mengenai Aliff mengembangkan kerjayanya di Indonesia.

Kira-kira pukul satu pagi, Yunika dikatakan ke bilik lain untuk berehat dan meninggalkan beg tangannya berhampiran Aliff.

Yunika mendapati sejumlah wang tunai dalam beg tangannya hilang semasa Aliff meninggalkan bilik. Aliff menafikan mengambil wang terbabit dan membuat laporan polis.

Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siaw, menyatakan Aliff mengaku mencuri wang tersebut kerana terdesak memerlukan wang.

Selain itu, dia turut mengaku wang yang dicuri digunakan untuk membeli makanan dan membayar pengangkutan. Di samping itu, Aliff didapati mabuk di bawah jambatan pusat beli-belah Orchard Towers pukul 5.30 pagi pada 10 November tahun lalu.

Seorang pegawai polis melihat dia menjerit dengan kuat dan memberi isyarat kepada seseorang ketika kejadian. Sarjan Theodore Lee meminta Aliff untuk bertenang dan dia mematuhinya sebelum berlalu pergi dan melakukan perkara serupa kira-kira satu jam kemudian.

Aliff didakwa berjalan menuju ke sebuah teksi dan menyepak ‘bumper’ teksi berkenaan tetapi tiada kerosakan berlaku.

Sumber: Harian Metro