Bagi mereka yang gemar mengembara, rakan peneman sudah tentu dipilih daripada kalangan sahabat rapat atau ‘sekepala’ agar percutian yang dinikmati lebih seronok.

Berlainan dengan seorang bapa, Mohd Faizil Muhamad, 33 tahun, yang selesa membawa anaknya yang berusia tiga tahun, Muhammad Zayyan Nafis, sebagai peneman dirinya untuk mengembara selama 24 hari ke Vietnam pada bulan Julai lalu.

Menurutnya, dia tidak membuat perancangan terperinci sebelum bercuti ala ‘backpacker’ bersama anaknya itu kerana ingin meneroka setiap destinasi menarik yang terdapat di negara tersebut.

“Saya memang suka bawa Ayyan (Muhammad Zayyan Nafis) mengembara cara macam ni. Kalau ajak kawan-kawan, tak ramai yang boleh ambil cuti selama itu,” ujarnya.

“Isteri saya pula bekerja, jadi saya bawa anak untuk teman saya. Cuma, bila ‘travel’ dengan budak ni, kita yang kena ikut masa dia dan pastikan dia dapat masa tidur secukupnya,” tambahnya.

Sebelum ini, dia pernah membawa anaknya itu mengembara ke Bangkok selama lima hari dengan menaiki kereta api semasa anaknya baru berusia 11 bulan.

Kali kedua pula mereka berdua mengembara selama 19 hari ke Osaka dan Tokyo iaitu sewaktu Muhammad Zayyan Nafis berusia setahun sembilan bulan.

“Saya hanya perlu sentiasa pastikan Ayyan berada di depan mata kerana takut dengan kes penculikan kanak-kanak,” luahnya.

“Perjalanan kali ini memang lancar, cuma kenangan yang tak boleh dilupakan apabila beg galas Ayyan yang mengandungi botol susu dan dua keping lampin pakai buang hilang pada hari kedua tiba di Vietnam,” kongsinya.

“Jadi, nak tak nak, saya perlu beli botol susu baharu untuknya, lampin pula tiada masalah. Cuma hilang dua keping dan memang senang nak cari dekat sana,” katanya lagi.

Malah, dia membawa bekalan sebanyak lima pek susu minuman kanak-kanak untuk dibancuh sepanjang perjalanan mereka di negara tersebut.

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi mereka adalah apabila terdapat tempat penginapan yang tidak menerima tetamu kanak-kanak di premis tersebut. Difahamkan, Mohd Faizil terpaksa mencari bilik persendirian untuk mereka berdua.

Untuk pengetahuan anda, kos keseluruhan pengembaraan tersebut termasuk tiket penerbangan pergi dan balik adalah sebanyak RM2,800.

Sumber: mStar