Terbaru, penceramah luar terutama dari negeri-negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) tidak dibenarkan berceramah di masjid dan surau di negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Gambar sekadar hiasan

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Md Azhan Samat, menyatakan bahawa ia sebagai usaha mengelak penularan Covid19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) di negeri tersebut.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pengisytiharan PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, oleh kerajaan sebelum ini ekoran peningkatan kes positif Covid19 di kawasan terbabit,” ujarnya.

“Pelaksanaan garis panduan ini adalah prosedur biasa serta langkah proaktif, mengekang penularan Covid19 berdasarkan situasi semasa dan rakyat tidak perlu panik,” jelasnya.

“Beberapa garis panduan bagi mengimarahkan masjid dan surau di Melaka juga ditetapkan, termasuk semua masjid dan surau hendaklah menangguhkan penganjuran program berskala besar seperti ceramah atau forum perdana, sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah, program tahnik dan khatan beramai-ramai,” katanya.

Difahamkan, penganjuran program hanya boleh membabitkan kapasiti 40 peratus daripada ruang masjid, dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 200 orang yang terdiri dalam kalangan anak kariah, selain memastikan penjarakan satu meter antara jemaah dilakukan.

Malah, program melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun turut ditangguhkan manakala pergerakan secara berkumpulan antara masjid ke masjid yang lain adalah dilarang.

Sumber: Harian Metro