Dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat Covid19 terutama ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB), kerajaan negeri Melaka telah memberi kebenaran kepada penjaja dan peniaga kecil berniaga di kawasan rumah mereka.

Gambar sekadar hiasan

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, menyatakan kelonggaran yang diberi itu masih tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard(SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan(PBT) di kawasan masing-masing.

“Kerajaan Negeri Melaka berharap kelonggaran kebenaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan peniaga dan penjaja kecil di Melaka memperoleh pendapatan untuk kegunaan pada bulan Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri,” ujarnya.

“Namun perlu ingat, kelonggaran kebenaran yang diberikan ini boleh ditarik balik serta-merta jika penjaja dan peniaga tidak mematuhi atau melanggar syarat ketat dan SOP yang ditetapkan,” tegasnya.

Gambar sekadar hiasan

Tambahnya, semua sektor dan subsektor ekonomi terutama makanan, yang dibenarkan dibuka semula dalam tempoh PKPB akan dibenarkan beroperasi sehingga pukul sembilan malam sahaja.

Ia meliputi sektor makanan (perniagaan berpremis) melibatkan restoran, medan selera/medan penjaja, gerai makan tepi jalan berbumbung/kiosk dan sektor makanan (perniagaan/penjajaan tanpa premis) seperti kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan sementara.

Walau bagaimanapun, hanya perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran sahaja dibenarkan dan makan di dalam premis adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sumber: Bernama & Astro Awani