Sejak petang kelmarin, jawatankuasa masjid As-Salihin Kampung Paya Rumput, Melaka, memperkenalkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara pandu lalu.

Setiausaha masjid berkenaan, Roslan Yahya, menyatakan kekangan pembayaran secara dalam talian dalam kalangan penduduk kampung membuatkan mereka memilih pendekatan untuk membayar secara pandu lalu.

Menurutnya, kaedah itu dilakukan secara berterusan sehingga menjelang Aidilfitri bagi membolehkan semua penduduk membuat pembayaran.

“Sambutan amat menggalakkan terutama penduduk berkereta dan bermotosikal termasuk dari taman perumahan berhampiran dan orang ramai yang melalui kawasan masjid ini,” ujarnya.

“Cara ini lebih mudah berikutan pembayar tidak perlu keluar dari kereta dan masuk ke masjid, sebaliknya hanya menunggu di dalam kereta sahaja,” katanya.

“Konsep ini nyata lebih pantas, mudah dan menjimatkan masa serta pada masa sama mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP) berikutan penularan wabak pandemik Covid19 di negara ini,” jelasnya.

Difahamkan, hanya laluan sehala disediakan dengan dua petugas mengikut situasi dan keperluan semasa bagi memudahkan pembayaran.

Sumber: Harian Metro