Mulai hari ini, kerajaan negeri Melaka telah bersetuju untuk membenarkan solat terawih secara berjemaah di masjid, namun hanya pegawai masjid di seluruh negeri itu sahaja boleh solat di masjid.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, menjelaskan bahawa Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM) bersetuju untuk memberi kelonggaran kebenaran tersebut selepas perbincangan diadakan.

“Bagaimanapun, kelonggaran kebenaran itu hanya dikhususkan kepada empat pegawai masjid di mana mereka mesti mematuhi syarat-syarat tertentu dan Prosedur Operasi Standard(SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dan pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya.

“Empat pegawai yang diberikan kebenaran itu membabitkan pengerusi masjid, imam, bilal dan siak. Syarat-syarat lain yang mesti dipatuhi adalah membabit solat terawih lapan rakaat yang ringkas,” jelasnya.

Difahamkan, kebenaran itu termasuk tidak menggunakan pembesar suara di luar masjid selain penjarakan sosial yang perlu dipatuhi.

Menurutnya, syarat berkenaan juga dibenarkan jika dalam kalangan mereka tidak terdapat simptom Covid19 seperti mengalami batuk, sakit tekak, demam dan sesak nafas.

Berikutan itu, borang kaji selidik peribadi akan dibekalkan kepada masjid-masjid di negeri itu.

Di samping itu, kerajaan negeri Melaka bersetuju untuk memberi kebenaran operasi kepada Mahkamah Syariah di semua tiga daerah negeri iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah selepas berbincang dengan Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka.

Kebenaran operasi itu hanya untuk dua hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) fasa keempat berlangsung sehingga 12 Mei depan.

“Kebenaran operasi itu akan dikuatkuasakan bermula 4 Mei 2020 yang hanya akan membabitkan kes-kes terdesak yang memerlukan tindakan segera daripada pihak mahkamah seperti tuntutan perceraian,” katanya.

“Pihak mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan kes-kes yang dikategorikan sebagai kes-kes terdesak untuk diambil tindakan segera,’ tambahnya.

Sumber: Harian Metro