Mulai 15 Jun ini, kerajaan negeri Selangor akan membenarkan operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam serta bazaria secara berperingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, menyatakan keputusan itu dibuat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) dilaksanakan secara rasmi bermula kelmarin sehingga 31 Ogos depan.

“Ia akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Jun dan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang sudah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan kekal menjadi rujukan teras bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan,” ujarnya.

“Namun, ia akan disesuaikan dan diselaraskan oleh PBT masing-masing mengikut piawaian yang sesuai dan strategik berdasarkan keadaan kawasan masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan negeri turut membenarkan kelas muzik dan kelas seni beroperasi di Selangor.

Tambahnya, pihaknya juga membenarkan aktiviti pendakian (hiking) dengan satu-satu kumpulan tidak melebihi tiga orang selain perlu mematuhi penjarakan sosial.

“Kerajaan negeri turut mengingatkan kepentingan untuk mengimbas kod QR dengan sistem SELangkah sebelum memasuki setiap premis, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan tatacara kebersihan seperti mencuci tangan dengan kerap,” jelasnya.

“Kita akan bertegas dan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis atau kawasan yang berisiko sekiranya pematuhan SOP gagal dipatuhi sepenuhnya oleh mana-mana pihak,” katanya.

Sumber: Harian Metro