Mayat wanita yang ditemukan di kawasan hutan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan, pada tengah hari ini disahkan Nora Anne Quoirin, 15 tahun, oleh keluarga mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, menjelaskan bahawa pengesahan itu dibuat selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban(HTJS).

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Nora Anne,” ujarnya.

Difahamkan, ahli keluarga Nora dilihat berada di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman pada pukul 8.40 malam tadi.

“Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur pada 10 pagi esok,” jelasnya semasa sidang media dilakukan oleh Unit Forensik HTJS sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat(SAR) masih diteruskan di lokasi mangsa dilaporkan hilang sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat,” sambungnya.

Terdahulu, mayat remaja orang kurang upaya(OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu ditemui di Gunung Berembun iaitu berhampiran dengan sebuah resort di Pantai, Seremban, pukul 1.57 petang tadi.

Sebelum ini, keluarga Nora Anne menyedari kehilangannya apabila dia hilang dari bilik penginapan pada pukul lapan pagi, 4 Ogos lalu.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Diharap keputusan bedah siasat dapat diketahui dengan segera bagi mengenalpasti punca kematian pelancong remaja berkenaan.

Sumber: Harian Metro