Ramai golongan merokok tidak berpuas hati dengan larangan merokok yang baru dikuatkuasakan baru-baru ini kerana menganggap ia keterlaluan dan menyusahkan.

Untuk pengetahuan anda, semakan kehakiman boleh difailkan di mahkamah untuk mencabar penguatkuasaan larangan merokok kerana ia adalah hak demokrasi rakyat Malaysia.

freemalaysiatoday.com

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberitahu bahawa pertikaian yang disuarakan sesetengah golongan masyarakat terutama perokok, tidak patut disekat kerana ia pertikaian mewakili golongan tersebut.

Walau bagaimanapun, kementerian bersedia untuk membentangkan hujah di mahkamah bagi mengetepikan semakan kehakiman itu bersandarkan asas perundangan berkaitan.

“Tiada masalah, kita jumpa di mahkamah. Memang hak mereka untuk suarakan sebarang pertikaian terhadap inisiatif kementerian dengan memfailkan semakan kehakiman,” ujarnya.

“Tetapi kita mempunyai asas kukuh dalam melaksanakan larangan merokok di sembilan premis awam berteraskan perundangan negara,” sambungnya.

Dua hari lepas, tujuh individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan, mulai 1 Januari 2019.

Permohonan mereka difailkan secara ex-parte(sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, melalui e-filing dan dikendalikan oleh Tetuan Haniff Khatri.

Permohonan tersebut dibuat oleh Mohd Hanizam Yunus, 52 tahun, Zulkifli Mohamad, 56 tahun, Mohd Laisani Dollah, 46 tahun, Mohd Sufian Awaludin, 35 tahun, Ridzuan Muhammad Noor, 52 tahun, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 tahun dan Yuri Azhar Abdollah, 39 tahun.

Dalam permohonan itu, semua pemohon mewakili diri sendiri dan perokok lain yang menyokong usaha “Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok” menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.

Sumber: Berita Harian