Seorang wanita dari Brisbane, Australia, ini mempunyai persepsi negatif mengenai agama Islam sejak sekian lama sebelum ini, telah berubah fikiran apabila mengenali rakan ”online game” yang berhijab dari Singapura pada tahun lalu.

Pengurus butik pakaian, Zahra Riza, menjelaskan segalanya bermula apabila dia mendapati rakannya menerusi permainan dalam talian itu memakai hijab.

“Permainan ini muncul secara rawak di Facebook (FB) yang kemudian menemukan saya dengan rakan baru dari pelbagai negara khususnya Asia termasuklah Kim dari Singapura,” ujarnya.

“Saya dan Kim menjadi sangat rapat, mungkin disebabkan kami berada dalam pasukan sama untuk permainan terbabit tetapi saya sangat selesa untuk bercerita perihal apa saja dengannya,” katanya.

“Menerusi ‘chat group’ yang diwujudkan untuk pasukan kami menyusun strategi permainan, Kim berkongsi profil yang menunjukkan dia memakai hijab menyebabkan saya mula terfikir untuk bertanya mengenai Islam. Ternyata saya terlalu jauh menggambarkan Islam dari yang sebenarnya,” tambahnya.

Sejak itu, dia semakin tertarik untuk mengenali Islam malah mula berjinak-jinak menutup rambut dengan memakai turban pada awalnya.

Menurutnya, dia tidak mahu berubah terlalu drastik sebaliknya hanya mahu mencuba untuk menutup aurat secara berperingkat dan ingin melihat jika dirinya dapat membiasakan diri memakai hijab seperti yang dituntut dalam Islam.

“Awalnya, rakan sekerja menyangka saya mempunyai masalah dengan rambut apabila saya memakai turban, ada juga yang menganggap saya ingin berfesyen dengan gaya baru,” jelasnya.

“Namun akhirnya saya berterus-terang memberitahu saya sedang mendalami Islam sebelum memutuskan untuk melafaz dua kalimah syahadah secara rasmi di Kuraby Mosque (Brisbane) awal tahun ini,” sambungnya lagi.

abc.net.au

“Kim antara yang sangat gembira mendengar berita itu walaupun pada awalnya dia sangat berat hati untuk berkongsi mengenai Islam kepada saya kerana dia tidak mahu dilihat sebagai mempengaruhi saya untuk mendalami Islam,” katanya.

Selain memeluk Islam, Zahra turut memberitahu wanita yang mengislamkannya di masjid itu bahawa dia ingin berkahwin dengan lelaki Islam dan tidak kisah jika perkahwinan itu diatur oleh orang lain.

Selepas itu, dia mengenali seorang lelaki dari Malaysia menerusi aplikasi perkahwinan Muslim.

“Selepas beberapa kali berbual, saya dan lelaki terbabit sama-sama menyatakan hasrat untuk serius dengan hubungan kami dan kami juga kemudiannya melakukan panggilan video bersama keluarga kedua-dua belah pihak sebagai simbolik ikatan,” ujarnya.

“Rancangan kami adalah untuk melangsungkan pernikahan di Malaysia sebaik sekatan pintu masuk dan keluar kedua-dua negara (Malaysia dan Australia) ditarik balik nanti,” jelasnya.

“Ya, kami cuma bertentang mata di alam maya namun setakat ini, isu kepercayaan tidak pernah timbul kerana kami yakin dengan kejujuran masing-masing,” katanya.

Menurut Zahra, dia juga sudah memaklumkan Kim mengenai pernikahannya dan berharap rakannya itu dapat hadir.

Difahamkan, bakal suaminya itu menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penyunting kandungan digital untuk sebuah organisasi berkaitan Islam.

Sumber: Harian Metro