Tidak lama lagi, dua masjid suci umat Islam iaitu Masjidil Haram, Mekah, dan Masjid Nabawi, Madinah bakal dibuka sebaik saja masalah penularan Covid19 dapat diatasi.

Menurut Twitter @HaramainInfo, perkara itu diumumkan Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais.

Menerusi ciapan tersebut, keadaan dijangka kembali normal di dua masjid suci berkenaan tidak lama lagi dan ini adalah perkhabaran gembira buat keseluruhan umat Islam.

Difahamkan, dua masjid suci itu akan dibuka untuk tawaf dan solat serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Walau bagaimanapun, pihaknya tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan membuka dua masjid berkenaan kerana mereka perlu mengambil semua langkah pencegahan yang perlu demi kebaikan umat Islam.

“Kami tidak akan tergesa-gesa membuka dua masjid suci itu kerana semua langkah yang diambil adalah untuk kebaikan kita,” ujarnya.

“Sekali lagi, kami menyeru semua umat Islam agar terus berdoa semoga pandemik ini selesai, berdoa untuk kebaikan pemimpin kita (Penjaga Dua Masjid Suci) sambil menerima bahawa apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik,” jelasnya.

“Semoga Allah melindungi mereka,” sambung Imam Besar Masjidil Haram tersebut.

Selain itu, teknologi moden akan digunakan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan bagi menangani penularan wabak Covid19.

Terdahulu, dia turut menyaksikan pelancaran penggunaan kamera termal di pintu masuk Masjidil Haram.

Sebelum ini, Arab Saudi menggantung sementara solat tarawih di dua masjid suci di Mekah dan Madinah, serta ibadah umrah, bagi mengelak penularan Covid19 di kedua-dua tempat suci tersebut.

Sumber: Astro Awani & Twitter @HaramainInfo