Baru-baru ini, pihak berkuasa Israel mencetuskan kemarahan umat Islam Palestin apabila menukar Masjid Al Ahmar di wilayah yang diduduki menjadi sebuah kelab malam.

Permohonan bagi menukar masjid bersejarah itu menjadi bar dan dewan perkahwinan mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Israel di wilayah Safad.

Kini, Masjid Al Ahmar yang dibina pada abad ke-13 itu ditukar menjadi Khan Al Ahmar. Sebelum ini, ia mula diceroboh oleh pelampau Yahudi pada tahun 1948.

Pada mulanya, bangunan itu dijadikan sekolah Yahudi dan pusat bagi kempen pilihan raya Parti Likud serta kedai pakaian sebelum ditukar menjadi kelab malam.

“Masjid Al Ahmar mendapat namanya kerana ia dibina menggunakan batu berwarna merah. Hari ini, masjid itu dibuka untuk hampir semua acara kecuali solat bagi penduduk Muslim,” ujar ahli sejarah dan penduduk tempatan, Mustafa Abbas.

mediaadil.com

“Masjid ini mempunyai nilai sejarah dan seni bina tersendiri. Ia dibina oleh Mameluke Sultan Al Daher Baibar (1223-1277 Sebelum Masihi),” katanya sambil menambah penduduk Islam yang melawat masjid berkenaan selalu berdepan serangan pendatang Yahudi.

Selain itu, Setiausaha Infak Safed dan Tiberias, Khair Tabari, menjelaskan dia menunggu mahkamah Nazareth membuat keputusan mengenai aduan yang difailkan meminta masjid itu dikosongkan dan dikembalikan kepada agensi itu.

Malah, dia turut menyertakan dokumen membuktikan pemilikan masjid berkenaan dan menggesa parti politik dan badan popular meningkatkan kerjasama dengannya dalam usaha menyelamatkan masjid itu daripada sebarang pelanggaran.

Beberapa tahun lepas, rejim Zionis dilihat sengaja mencetuskan konfrontasi apabila membuka beberapa bar dan pusat hiburan berhampiran Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian