Ramai mengambil kesempatan untuk bertadarus al-Quran apabila tibanya bulan Ramadan. Bagi Masjid Agung Baiturahman di Banyuwangi, Indonesia, terdapat satu keistimewaan pada majlis tadarusnya.

Untuk pengetahuan anda, tadarus di masjid itu menggunakan sebuah al-Quran gergasi berukuran 2 x 1.5 meter dengan berat mencecah 400 kilogram.

“Majlis tadarus menggunakan al-Quran gergasi ini telah dilakukan sejak bulan Ramadan tahun 2011. Alhamdulillah, ia masih berterusan sehingga ke hari ini,” ujar Setiausaha Yayasan Masjid Agung Baiturahman, Iwan Azis Siswanto.

Difahamkan, pembacaan dibahagikan kepada satu kumpulan dengan tujuh orang pembaca pada setiap malam berikutan saiz al-Quran yang digunakan agak besar.

Selain kumpulan terdapat dua orang petugas khas yang bertanggungjawab membuka lembaran al-Quran setiap kali pembaca menghabiskan bacaan.

Menurut Iwan, al-Quran gergasi itu telah berada di Masjid Agung Baiturahman sejak tahun 2011 dan hanya dibaca ketika bulan Ramadan selepas solat terawih.

Al-Quran gergasi tersebut merupakan pemberian daripada seorang warga daerah Genteng yang juga penulis al-Quran tersebut, H. Abdul Karim.

Al-Quran tulisan tangan itu diperbuat menggunakan pen dan kertas khas yang didatangkan dari Jepun dan mengambil masa lebih enam bulan untuk disiapkan.

Sumber: Sinar Harian