Tragedi pilu yang meragut nyawa 292 penumpang dan anak kapal lain apabila pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di Donestk, Timur Ukraine, empat tahun lepas masih segar di ingatan rakyat Malaysia.

Sebuah keluarga berasal dari Sarawak turut menjadi sebahagian daripada mangsa tragedi pesawat tersebut iaitu jurutera petroleum, Tambi Jiee, 49 tahun, isterinya Ariza Ghazalee, 46 tahun, bersama empat anak mereka Muhammad Afif, 19 tahun, Muhammad Afzal, 17 tahun, Marsha Azmeena, 15 tahun, dan Muhammad Afruz, 13 tahun.

Berikutan itu, sebuah masjid yang didirikan menggunakan bayaran wang pampasan daripada sekeluarga mangsa tragedi MH17 itu telah dibuka kepada orang ramai.

Masjid Al-Ghazali yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya, Sarawak, itu cukup memberi makna kepada waris enam sekeluarga yang terkorban.

Pembukaan Masjid Al-Ghazali malam kelmarin disempurnakan dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak serta solat Tarawih berjemaah.

Mampu memuatkan 450 jemaah, masjid tersebut menampilkan reka bentuk Islamik moden yang dilengkapi ruang solat jemaah wanita, tempat wuduk, blok tandas, bilik pejabat dan tempat parkir kenderaan.

Pemilihan tarikh pembukaan masjid juga simbolik kerana tragedi itu sendiri berlaku pada 17 Julai 2014, hari ke-19 umat Islam berpuasa tahun itu.

“Diharapkan wakaf ikhlas ini dapat menjadi dana akhirat arwah sekeluarga. Semoga Allah merahmati keluarga ini,” ujar seorang waris.

Sumber: Astro Awani