Semua masjid di negara ini disarankan melakukan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat esok bagi memohon doa diturunkan hujan supaya masalah jerebu dapat dikurangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menjelaskan bahawa sebagai seorang Muslim, setiap umat Islam perlu berdoa supaya segala masalah dan musibah dikurangkan.

“Oleh itu, saya menyeru semua masjid mengadakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan jerebu. Semoga Allah memelihara negara ini daripada jerebu serta bencana yang tidak diingini,” ujarnya.

Untuk pengetahuan anda, beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara(IPU) daripada sederhana kepada tahap sangat tidak sihat iaitu 200 sehingga menyebabkan sebanyak 1,484 buah sekolah di tujuh negeri diarahkan tutup dalam minggu ini.

Sumber: Astro Awani & Bernama