Kita biasa lihat dan dengar masjid-masjid yang menyediakan barang dapur di masjid untuk diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan. Namun berbeza untuk Masjid Permatang Rambai di Penaga, Pulau Pinang ini dimana mereka mempunyai cara tersendiri untuk membuat kebajikan.

Masjid Permatang Rambai menyediakan sebuah ‘butik’ yang menyediakan pakaian percuma buat golongan kurang berkemampuan. Terdapat pelbagai jenis pakaian dewasa serta kanak-kanak.

‘Butik’ yang telah diperkenalkan sejak Disember 2018 yang lalu merupakan hasil inisiatif biro kebajikan masjid berkenaan dan telah diuruskan Robiah Che Mat serta suaminya, Saad Yaakob, yang juga merupakan Pengerusi Biro Kebajikan masjid terbabit.

Menurut Robiah, idea mengadakan ‘butik’ ini terjadi apabila beliau serta suaminya sedang memikirkan cara untuk mengisi masa lapang selepas mereka bersara. Idea itu kemudiannya telah mendapat perhatian anak-anak kariah yang turut sama mahu menyumbang tenaga.

Program itu mendapat sambutan ramai yang amat menggalakkan dengan adanya aplikasi WhatsApp dan medium media sosial yang lain. Ramai mula menghantar pakaian terpakai sehingga mencecah 5,000 helai sebulan!

“Idea infak pakaian ini mendapat sokongan Pengerusi Masjid Permatang Rambai Datuk Ghazali Hashim yang kemudian memberi ruang kepada skuad infak untuk beroperasi di kawasan berhampiran masjid,” kata Robiah kepada Harian Metro.

“Sehingga kini, kami berjaya mengumpul lebih 10,000 pakaian terpakai dan lebih 2,000 pakaian baharu,” tambahnya lagi.

Antara yang mengunjungi masjid itu bagi mendapatkan pakaian percuma adalah penduduk setempat serta penduduk luar kariah itu termasuk dari Kulim dan Sungai Petani, Kedah. ‘Butik’ berkenaan beroperasi 24 jam setiap hari dengan dikendalikan 20 sukarelawan berusia antara 24 hingga 60 tahun.

Syabas diucapkan kepada pihak pengurusan Masjid Permatang Rambai dan pihak-pihak yang terlibat dalam menyediakan kemudahan ini. Semoga orang ramai dapat membuat inisiatif yang sama juga!

Sumber: SAYS