Sambutan Aidilfitri bagi masyarakat kampung Dusun Dasan Baru di Lombok Timur, Indonesia, lebih bermakna apabila masjid baru yang sedang dibina bakal siap dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Masjid itu dibina di atas tapak masjid lama yang musnah akibat gempa bumi pada Julai tahun lepas. Ketua Kampung, Suherman Urun, mengucapkan terima kasih di atas sumbangan masjid yang diterima tidak dapat menahan sebak kerana memikirkan kesusahan yang dialami penduduk kampung itu selepas tragedi gempa bumi.

“Dengan adanya sumbangan ini, semangat meneruskan hidup (selepas gempa) kembali. Kita harus yakin kita akan dapat bangkit semula dan meneruskan kehidupan pada masa hadapan,” ujarnya.

Difahamkan, masjid baru mampu menampung kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa itu merupakan sumbangan rakyat Malaysia hasil usahasama Pasaraya Econsave, pertubuhan bukan kerajaan MyCARE, dengan kerjasama PKPU Human Initiative, Indonesia.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam, menjelaskan bahawa pembinaan masjid baru itu melibatkan kos RM100,000.

“Masjid yang mula dibina seminggu lepas, dijangka siap dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kita harap masjid ini bukan sahaja akan menjadi tempat ibadah malah pusat aktiviti masyarakat di sini memandangkan kampung mereka agak jauh ke dalam,” jelasnya.

Malah, sumbangan lain turut diberikan iaitu seekor lembu dan seekor kambing bagi majlis berbuka puasa untuk kira-kira 300 hingga 400 orang.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian misi MyRamadan Gempa Bumi Lombok bermula Jumaat melibatkan pelbagai pihak termasuk pasaraya Econsave dan MyCare serta beberapa NGO lain.

Seramai 14 sukarelawan dan rakan media terlibat dalam misi itu dengan menyampaikan beberapa sumbangan kepada masyarakat di sekitar Lombok bagi meringankan beban mereka terutama ketika Ramadan.

Sumber: Astro Awani & Bernama