Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa air zamzam tidak boleh dijual beberapa hari lepas, masih lagi ada peniaga yang menjual air itu di pasaran.

Gambar sekadar hiasan

Sebuah kios di ibu negara didapati menjual air zamzam pada harga RM45 untuk 1.5 liter, RM170 untuk 10 liter, RM110 untuk lima liter dan RM15 bagi sebotol kecil 500 mililiter(ml).

“Saya pun bekerja saja di sini, tak tahu di mana alamat pembekal itu. Biasa ada Pak Arab hantar bekalan. Kami kena sorok sebab sekarang tengah panas mengenai air zamzam,” ujar seorang pekerja kios tersebut.

Menurutnya, penjualan tong besar 10 liter air zamzam dilakukan secara sembunyi oleh kerana isu air zamzam sedang ‘hangat’ pada ketika ini.

“Tong besar diletakkan di bawah meja tak dipamerkan, kami hanya tunjukkan sekiranya pelanggan mahu membelinya. Sebenarnya RM180, tetapi boleh kurang kepada RM170. Ada yang jual lebih mahal daripada harga kami,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Selain itu, seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah premis pemborong bekalan makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman(TAR) di Kuala Lumpur mengalami kesukaran untuk mendapat bekalan air zamzam.

Difahamkan, stok yang ada di premis itu hanya mempunyai lima kotak berisi botol besar kandungan 10 liter berharga RM120 dan tiada botol saiz lain yang dijual.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan bahawa air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” katanya.

Sumber: Harian Metro