Pelawak dan penyanyi, Mark Adam atau nama penuhnya Mark Adam Fikri Abdullah, 40 tahun, berdoa agar pintu hati ibunya, Florenda Macaraig Echivarre, 60 tahun, terbuka untuk memeluk Islam satu hari nanti.

“Ibu amat menyukai sikap saya sekarang dan dia beritahu banyak perubahan positif terhadap saya selepas memeluk Islam,” ujarnya.

“Saya tidak akan memaksa ibu menukar agama tetapi jika dia memeluk Islam, saya manusia pertama yang gembira dan bersyukur,” katanya.

“Apabila saya memeluk Islam pada 2003, saya menikmati ketenangan dan perubahan. Antara yang dipelajari adalah menghormati orang dan agama lain. Saya percaya Islam agama yang benar dan berdoa ibu mengikuti jejak langkah saya,” jelasnya.

“Saya bersyukur kerana isteri (Nor Azah Redzuan) dan bapa mentua banyak membantu mengenai ajaran Islam. Setakat ini saya sudah mempelajari solat termasuk berpuasa penuh (ketika Ramadan) sejak beberapa tahun lalu,” tambahnya.

“Impian saya adalah untuk terus kekal dan mendalami agama ini secara menyeluruh,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro