Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang berkuat kuasa tengah malam tadi adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menganggap ia sebagai langkah permulaan ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

“Tapi kita kena terima hakikat bahawa oleh kerana skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan juga kedudukan kewangan akibat skandal 1MDB tidak membolehkan kita melaksanakannya dengan segera. Ini yang terus kita berusaha tapi sekarang kita nak pulihkan kedudukan fiskal kita terlebih dahulu,” jelasnya.

“Di sini kita tak sebut dengan hapuskan tol motosikal sudah, itulah penamatnya… tidak, kita akan terus berusaha (menghapuskan tol). Sekiranya kedudukan fiskal adalah lebih baik daripada yang kita jangka mungkin ada berita baik lagi,” tambahnya.

kosmo.com.my

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Januari 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.

Dia yakin bahawa kedudukan fiskal negara akan kembali pulih dalam tempoh tiga tahun lagi dan berharap rakyat bersabar selain memberi kepercayaan kepada kerajaan PH untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tentulah kita harus tabah hati seperti yang saya sebut bahawa dalam tiga tahun kita yakin kita dapat pulihkan kedudukan fiskal dan balik ke pangkal jalan untuk memenuhi matlamat dan sasaran menjadi sebuah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sumber: Astro Awani