Wanita hamil yang menjadi mangsa serangan Islamofobia di Sydney, Australia, baru-baru ini selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada awal pagi semalam.

Sebelum ini, mangsa, 31 tahun, ditumbuk beberapa kali sebelum rebah lalu dipijak oleh suspek, 43 tahun, dan kemudian dihalang oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Berita gembira itu dikongsi oleh satu akaun Twitter, muslim.daily, dengan mengucapkan syukur atas kelahiran bayi lelaki tersebut.

“Alhamdulillah, wanita Muslim yang hamil malah menjadi mangsa serangan Islamofobia di sebuah kafe di Sydney telah melahirkan bayi lelaki yang sihat. Semoga ALLAH memberkati dan melindungi mereka,” tulis ciapan itu yang tular di laman sosial.

Malah, ciapan berkenaan dibanjiri ucapan tahniah dan gembira kerana kedua-dua ibu dan bayi selamat.

“Syukur, si ibu selamat melahirkan bayi itu dan moga ALLAH terus melindungi mereka,” tulis seorang pengikut Twitter, Fatzz.

Sumber: Sinar Harian