Seramai 160 mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, menuntut ganti rugi daripada pihak berkuasa atas kegagalan dalam mengawal pencemaran sungai itu sejak 7 Mac awal tahun ini.

Difahamkan, tuntutan saman itu melibatkan dua kumpulan plaintif iaitu kumpulan pelajar dari SMK Pasir Putih dan SMK Tanjung Puteri Resort dengan 36 pelajar, 120 nelayan dan enam orang awam.

Peguam yang mewakili Jawatankuasa Bertindak mangsa dan keluarga gas toksik Sungai Kim Kim, Kamarudin Ahmad, menjelaskan bahawa ganti rugi itu melibatkan ganti rugi khas sebanyak RM4000 sehingga RM5000 seorang serta ganti rugi am yang bakal ditentukan oleh pihak mahkamah.

Saman itu difailkan melalui Kamarudin & Partners akan dilakukan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 17 Julai depan.

“Mengumpul dokumen dan laporan hospital serta mencari mangsa memakan masa. Mangsa tidak datang beramai-ramai, jadi pihak jawatankuasa bertindak perlu jumpa mereka di hospital atau di sekolah,” ujarnya apabila ditanya tentang kelewatan menfailkan saman tersebut.

“Sebagai pihak peguam, kita mengambil masa untuk melihat legal approach. Ini bukan perkara yang mudah dan belum pernah berlaku di negara ini, jadi kita perlu ambil masa untuk melakukan kaedah yang terbaik,” jelasnya.

Menurutnya, seramai 11 defendan akan dipanggil dalam tuntutan saman ini iaitu Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri Johor, Exco Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPS) serta syarikat terlibat.

Sumber: Astro Awani