Semalam, mangsa dan waris insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah, pada tahun 2015 lalu menerima sumbangan peribadi daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, di Putrajaya.

Sumbangan peribadi itu disampaikan oleh Duta Besar Diraja Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, pada Majlis Jamuan Tengah Hari bersama Waris Dan Mangsa anjuran Tabung Haji(TH) bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menurut Mahmoud, pihaknya menzahirkan rasa simpati terhadap waris jemaah haji yang meninggal dunia dan cedera semasa kejadian itu berlaku.

astroawani.com

“Kerajaan Arab Saudi turut memuji sikap prihatin TH kerana menziarahi waris dan keluarga mangsa selepas insiden termasuk mengadakan Badal Haji kepada mangsa yang meninggal dunia,” ujarnya.

Difahamkan, seramai tujuh jemaah haji Malaysia terkorban dan dua lagi tercedera dalam kejadian kren tumbang itu menerima sumbangan berjumlah 1 juta Riyal (RM1.08 juta) bagi yang meninggal dunia dan 500,000 Riyal (RM540,000) bagi mangsa yang cedera.

Sumber: Harian Metro