Syarikat penerbangan Malindo Air, melancarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani, Thailand ke Kota Bharu bakal menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Md Anizam Ab Rahman, memberitahu laluan terbaru itu memberi peluang untuk mempromosikan Kelantan kepada pelancong asing.

kosmo.com.my

“Melalui penerbangan ini, pelancong asing dari pelbagai negara yang melancong ke Thailand diberi peluang menikmati percutian di Kelantan,” ujarnya.

“Kita jangka ini akan memberi peluang untuk kita mempromosikan negeri ini sekali gus meningkatkan jumlah kedatangan pelancong asing ke Kelantan bagi mencapai sasaran keseluruhan 5.23 juta pelancong domestik dan antarabangsa setahun,” sambungnya.

Difahamkan, Malindo Air akan mengadakan penerbangan dua kali seminggu bagi laluan berkenaan iaitu pada setiap Isnin dan Selasa.

Selain itu, pelancong yang baru tiba juga akan dibawa mengelilingi bandar Kota Bharu untuk mengenali budaya dan warisan Kelantan, keindahan alam semula jadi serta dapat menikmati makanan tempatan.

Sumber: Astro Awani