Pasti ramai yang sudah menarik nafas lega kerana kini anda boleh menggunakan media sosial popular Facebook, Instagram dan WhatsApp semula selepas ketiga-tiga aplikasi media sosial tersebut mengalami gangguan selama beberapa jam sejak pagi tadi.

Menurut akaun rasmi Facebook di Twitter, pihaknya menjelaskan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan dan memberi jaminan bahawa ia tiada kaitan dengan serangan DDos yang didakwa berlaku kepada mereka.

Selain itu, pengguna laman Instagram juga mengalami masalah sama apabila tidak boleh membuat posting terbaru dan melihat gambar di laman sosial popular itu walaupun sudah refresh berkali-kali.

Malah, ada segelintir pengguna WhatsApp juga mengalami gangguan dengan tidak dapat menghantar gambar dan video menggunakan aplikasi komunikasi itu.

Difahamkan, gangguan ini dikatakan gangguan terbesar kerana pengguna di Amerika Utara, Amerika Selatan dan Eropah mencatatkan angka tertinggi mengalami masalah yang sama, menurut laman web downdetector dot com.

Gangguan media sosial terbaru ini nampaknya memberi impak besar kepada pengguna dan juga perniagaan online kerana tidak dapat menjalankan perniagaan mereka selama beberapa jam.

Kini, ketiga-tiga media sosial tersebut dikatakan telah pulih dan pengguna sudah boleh mengakses akaun masing-masing serta dapat melihat serta membuat posting seperti biasa.

Sumber: Astro Awani