Tahukah anda, Malaysia direkodkan sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk ‘tergemuk’ paling tinggi di Asia?

Difahamkan, perkongsian ciapan di akaun rasmi Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) itu bersempena Hari Diabetes Sedunia dua hari lepas.

Menurutnya, Malaysia adalah negara ‘tergemuk’ di Asia kerana 33 peratus rakyat negara ini mempunyai berat badan berlebihan dan 18 peratus mengalami obesiti sehingga November tahun ini.

“Jika ibu bapa obes, anak pula berisiko 13 kali ganda obes. Kawal berat badan dan bersenam mampu kurangkan risiko diabetes,” tulisnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, turut mengumumkan Malaysia sebagai negara mempunyai bilangan penduduk obesiti paling tinggi di Asia sejak tahun 2015, pada April lalu.

Ujarnya, statistik itu amat membimbangkan kerana obesiti antara faktor utama bagi sebilangan besar penyakit kronik.

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan(NHMS) pada tahun 2015 menunjukkan Malaysia telah menjadi sebuah negara obes kerana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan.

Selain itu, Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(Unicef) Malaysia juga menunjukkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak negara ini adalah kedua tertinggi di Asia selepas Brunei.

Sumber: Sinar Harian