Berikutan kes seorang pemancing yang meninggal kerana lemas, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 tahun, ketika menyelamatkan lima mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu minggu lepas mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurutnya, pemergian Abdul Bari minggu lepas disifatkan sebagai meninggal dunia dalam syahid kerana tindakan Allahyarham merupakan satu tindakan yang amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.

“Sesungguhnya, pengorbanan almarhum untuk menyelamatkan mangsa-mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia dan dengan izin-Nya, termasuk dalam kategori syahid, insyaAllah,” tulisnya.

“Di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohi almarhum,” sambungnya.

Selain itu, Dr. Zulkifli juga mencadangkan agar keluarga allahyarham dan penyelamat-penyelamat sepertinya yang sanggup menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan orang lain diberi anugerah yang setimpal.

Sumber: Astro Awani & Fb Mufti Wilayah Persekutuan