Peserta dari Malaysia, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Faizurah Panut, muncul juara qari dan qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa(MTHQA) 2019, semalam.

Untuk pengetahuan anda, MTHQA berlangsung selama enam hari dari 15 April lalu hingga semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur(KLCC).

Abdul Khair mendapat tempat pertama dengan markah 93.02 peratus manakala Nor Farhatul mendapat markah sebanyak 87.05 peratus. Difahamkan, mereka menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai sebanyak RM40,000.

Manakala naib johan qari dan qariah pula ialah Yassine Bekouassa dari Algeria dengan markah 91.75 peratus dan Wardatun Nisa Hasa dari Indonesia dengan markah 84.88 peratus. Naib johan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Kemudian, tempat ketiga qari dan qariah pula dimenangi oleh llyas Lamhayahoui dari Maghribi (89.92 peratus) dan Karimah Hayibaraheng dari Thailand (80.46 peratus). Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Di samping itu, johan hafazan dimenangi qari dari Sweden, Mohamed Abdi (96.05 peratus) dan Fatouma Ousseni Moussa dari Nigeria (92.96 peratus). Mereka menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 dan wang tunai RM25,000.

Tempat kedua disandang qari dan qariah dari Kanada dan Palestin iaitu Mohamad Maruf Hossain (94.26 peratus) dan Hadeel K A Madfaa (92.83 peratus) dan menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Pemenang tempat ketiga hafazan dimenangi qari dan qariah dari Kenya dan Nigeria iaitu Heytham Sagar Ahmad (94.11 peratus) dan Hasiya Usman Jibrilla Mohammed (88.58 peratus).

Penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sumber: Harian Metro