Negara kita bakal terkena ‘tempias’ jerebu dari Indonesia berikutan kebakaran hutan yang berlaku di lima wilayah di Indonesia.

Gambar sekadar hiasan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Meteorologi Malaysia(MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, menjelaskan bahawa beberapa negeri akan mengalami jerebu dalam tempoh tujuh hari berikutan angin monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil.

“Berdasarkan ramalan kami (MetMalaysia), pergerakan jerebu rentas sempadan dari Sumatera telah mempengaruhi keadaan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan di sebelah utara pula seperti Pulau Pinang,” ujarnya.

“Memandangkan kita masih mengalami tiupan angin dari Barat Daya dan kelajuannya sedikit meningkat, kita jangkakan keadaan jerebu akan berterusan dalam tempoh tujuh hari akan datang,” jelasnya.

reuters

Menurutnya, terdapat 32 titik panas dikesan di Sumatera diikuti sistem tekanan rendah di mana tahap ketampakan di beberapa negeri juga turut merosot.

“Angin pada ketika ini bertiup dari arah Sumatera ke arah Semenanjung Malaysia dan semalam, kalau kita tengok berdasarkan pemantauan satelit, terdapat 32 titik tompok panas sekitar Sumatera,” katanya.

“Apabila titik panas sebanyak begitu, ia memberi kesan kepada negara kita. Situasi ini bergantung kepada Indonesia (memadamkan) kebakaran hutan,” sambungnya.

Kebakaran hutan berlaku di Riau dan juga lima wilayah lain iaitu Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Sumber: Astro Awani