Bagi menyokong inisiatif kerajaan iaitu “gelembung perjalanan hijau”, Malaysia Airlines Bhd(MAB) menawarkan pelanggan tiket penerbangan bersubsidi untuk destinasi domestik.

Gambar sekadar hiasan

Untuk pengetahuan anda, gelembung perjalanan hijau ialah perjalanan rentas daerah dan negeri membabitkan negeri-negeri zon hijau.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pengguna Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May, menjelaskan bahawa MAB tetap optimis bahawa perjalanan dan pelancongan domestik akan pulih dengan pantas jika semua pihak bersama-sama memainkan peranan mereka dalam memastikan semua langkah keselamatan dan kesihatan yang berkaitan pencegahan penularan Covid19 dipatuhi ketika melakukan perjalanan.

Gambar sekadar hiasan

“Melalui kempen ‘Fly Confidently’, kami telah berusaha untuk meningkatkan langkah keselamatan dan kesihatan di semua lokasi dibawah pengendalian MAB untuk memastikan penumpang kami menikmati perjalanan yang lebih selamat serta selesa bersama kami,” ujarnya.

“Kami memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka menjadi keutamaan kami,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Menerusi program itu, pelanggan boleh menuntut potongan harga sehingga RM200 untuk tambang Kelas Ekonomi dan Perniagaan Malaysia Airlines ke semua destinasi tempatan.

Selain itu, pelanggan perlu mendaftar sebagai ahli Enrich untuk meneruskan tempahan itu serta berhak mendapat bonus 500 ‘Enrich Miles’ yang akan dikreditkan selepas selesai melakukan perjalanan udara.

Difahamkan, inisiatif tersebut berkuat kuasa sehingga 8 Disember depan untuk perjalanan mulai hari ini dan 30 Jun, 2021 untuk semua tempahan yang dibuat di http://malaysiaairlines.com/cuticutimalaysia.

Sumber: Bernama, Astro Awani