Orang ramai dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan jenis itu berikutan risiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat di kawasan Pantai Barat Semenanjung.

Gambar sekadar hiasan

Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu(UMT), Prof Madya Dr Ong Meng Chuan, menjelaskan bahawa menerusi kajian yang dijalankan pasukannya, pencemaran logam berat arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai serta pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.

Menurutnya, antara kawasan yang dikesan berisiko menghadapi pencemaran logam berat itu adalah sekitar pelabuhan di perairan Johor, Pelabuhan Klang dan muara sungai di Pulau Pinang.

“Fenomena itu secara tidak langsung turut mencemari sumber makanan laut kerana sifat haiwan bercengkerang ini ia mendiami habitatnya dan tidak bergerak ke tempat lain. Secara tidak langsung, ia memperoleh sumber makanan daripada tempat ia tinggal,” ujarnya.

“Jadi sudah tentu jika perairan itu dicemari logam-logam berat berkenaan, sudah pasti ia turut mencemari haiwan bercengkerang itu yang seterusnya dimakan oleh manusia,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

“Kesan pencemaran logam berat terhadap manusia mengambil masa yang lama untuk dikesan sebab ia melalui proses bioakumulasi dimana kita makan sedikit daripada makanan itu yang dicemari arsenik atau merkuri (logam ini tidak diperlukan oleh badan) setiap hari dan akhirnya akan menyebabkan kita mendapat pelbagai penyakit,” jelasnya.

Difahamkan, keadaan laut Selat Melaka yang cetek dan peningkatan sektor perindustrian di kawasan pelabuhan serta muara sungai menjadikan ia penyumbang utama kepada pencemaran tersebut.

Di kawasan muara sungai, arus sungai adalah lebih lemah dan menyebabkan logam-logam berat ini mudah terdampar dan menjadi mendapan di sungai dalam jangka masa yang lama.

“Keadaan perairan yang sempit dan cetek, juga telah menjadikan kadar pemendapan bahan logam berat itu tinggi berbanding di Laut China Selatan yang mempunyai kadar isi padu air laut yang lebih banyak dan ini akan mencairkan bahan logam tersebut,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani & Bernama