Jumaat lepas, Lloyd Bagtong, 21 tahun, ditahan selepas didakwa memenggal kepala seorang wanita dan memakan otaknya bersama nasi hanya kerana mangsa bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris.

Suspek utama yang didakwa membunuh dan memenggal seorang wanita itu di wilayah Talisayan, Misamis Oriental, Filipina, telah maut ditembak polis.

Sebelum kejadian, Bagtong ditahan polis setelah dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam itu ditembak selepas dia merampas pistol daripada seorang pengiring polis dan menembak seorang pegawai lain.

Menurut laporan polis, suspek yang juga penduduk Kampung Casibole di Talisayan, ditembak tiga kali ketika diiringi polis dari Talisayan ke Cagaya de Oro bagi tujuan siasatan di Pejabat Pendakwa Wilayah sekitar jam 7.40 pagi.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila tayar kenderaan pengiring pecah kira-kira 62 kilometer dari Talisayan dan 30 kilometer dari Cagayan de Oro.

Ketua Polis Talisayan, Kapten Maribeth Ramoga, menjelaskan bahawa suspek dibawa ke bandar tersebut bagi tujuan prosiding inkues kerana tiada pendakwaraya yang bertugas di Talisayan pada ketika itu.

Bagtong dikatakan meminta kebenaran untuk turun membuang air kecil ketika kenderaan mereka sedang berhenti.

Pegawai polis yang mengiringinya mengubah posisi tangan Bagtong ke hadapan dan secara tiba-tiba suspek itu mengambil peluang merebut pistol dan melepaskan tembakan ke arah pengiringnya.

Walau bagaimanapun, tiada anggota polis yang cedera dan suspek berjaya melepaskan hanya satu tembakan sebelum ditembak tiga kali oleh salah seorang pengiring.

Berikutan itu, suspek terkena dua tembakan di bahagian dada dan satu tembakan di bahagian sisi badan, ujar Delos Santos.

Kemudian, Bagtong dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia.

Sumber: Astro Awani & Agensi