Kita biasa melihat pelajar cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mendapat straight A, tetapi apa yang mengejutkan ialah seorang pelajar di Kolej Mara Banting (KMB) mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan juga peperiksaan semester di kolej.
Pelajar cemerlang itu dikenali sebagai Muhammad Ihsan Thaqif Bahter Nasir, 18 tahun, berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A+ dan Anugerah Kepujian dalam ujian semester yang lalu di KMB.
Ihsan Thaqif mengikuti jurusan Baccalaureate Antarabangsa (IB) di KMB selepas mendapat keputusan cemerlang 6A dalam Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) semasa di Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak pada tahun lepas.
Walaupun sudah berjaya memasuki kolej itu, anak kepada doktor dan guru ini bertekad untuk mengambil sijil SPM kerana mempunyai impian untuk berkhidmat di sektor awam satu hari nanti.
Muhammad Ihsan Thaqif dua dari kiri
“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang saintis yang berkaitan dengan bidang fizik,” jelasnya.
Selain itu, dia juga memberitahu dia tidak mempunyai tips atau rahsia mengenai kejayaannya yang tular seluruh negara buat masa ini.
“Jangan terhadkan diri anda untuk capai kejayaan seperti saya jika anda boleh lakukan lebih daripada itu. Jadi diri sendiri dan ketahuilah bahawa gred bukanlah segala-galanya,” pesannya.