Setiap orang pasti mempunyai kisah tersendiri mengenai ibu masing-masing. Pelbagai kenangan pahit manis dilalui bersama dan mereka sentiasa mendapat tempat paling teragung dalam hati kita selain ayah.


Seorang pengguna Twitter, @frdsh_, atau nama sebenar, Firdaush Jaafar, 31 tahun, berkongsi kisah kehidupan bersama ibu tersayang, Hamidah Melan, 61 tahun, di laman sosial tersebut.

Menurutnya, dia dibesarkan oleh ibunya sendiri sejak berusia tiga bulan kerana ibunya merupakan seorang ibu tunggal.

Malah, ibunya bekerja pelbagai pekerjaan seperti kerja kilang, menoreh getah, jual kuih dan nasi lemak serta jual ABC untuk membesarkan dia dan adik-beradik yang lain.

“Dapat 7A masa PMR pun, Mak bawak belanja KFC dengan pekan Kuala Pilah. Naik bus dalam sejam setengah. Dapat snack plate pun rasa dah gembira sangat,” tulisnya.

Tambahnya, ibu Firdaush sanggup menghantar pensel warna ke sekolah dengan menaiki motor dalam keadaan hujan lebat dan ia merupakan kenangan paling tidak akan dilupakannya.

“Mak kan. Susah macam mana pun dia tak pernah nak cakap dengan kita. Dia usahakan jugak,” katanya sambil menceritakan pengorbanan ibunya sepanjang dia belajar di Law School.

Semasa hari graduasi, ibu Firdaush tidak dapat datang ke majlis graduasi namun sempat berpesan untuk mengambil gambar sebagai kenangan untuknya.

Walau bagaimanapun, dia menulis dan menyampaikan ucapan khas buat ibunda tersayang di hadapan hakim serta para peguam lain dan ibunya menangis apabila melihat ucapan tersebut.

“Oleh itu, janganlah komplen selalu bila ibu bapa kita garang dan rasa dorang tak sayang dekat kita. Some people dont have such privilege, even,” katanya lagi.

Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kita selagi mereka masih ada kerana kita tidak tahu berapa lama mereka akan sentiasa berada dengan kita.

Sumber: Twitter @frdsh_