Walaupun tiada gaji bulanan, Mohd Amirul Mohd Sani, 22 tahun, bersyukur kerana dapat mengisi masanya menjadi pemandu van jenazah secara sukarela kerana ia memberi peluang kepadanya membantu waris si mati.

“Saya lakukannya dengan ikhlas dan berharap ia menjadi bekalan saham di akhirat kelak,” ujarnya yang turut dikenali sebagai Mat Jenazah yang tular di laman sosial Facebook melalui akaun Mr Wan Cai Official.

“Selain itu saya turut menjadi penternak lembu selepas bapa, Mohd Sani Ismail, meninggal dunia akibat kemalangan pada tahun 2017,” jelasnya.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai kelindan. Bagaimanapun saya tidak kekok dengan kerja baru ini kerana kerap menguruskan jenazah sejak berumur 12 tahun lagi,” katanya yang sudah dua bulan bekerja sebagai pemandu van jenazah secara sambilan itu.

“Tiada siapa yang mengajak sebaliknya saya sendiri yang berminat untuk membantu orang kampung menggali kubur dan memandikan jenazah apabila ada kematian,” tambahnya.

“Tidak timbul rasa takut ketika memandu van jenazah mahupun ketika menguruskannya. Lagipun, saya melakukannya sejak kecil dan rumah saya terletak betul-betul di tepi tanah perkuburan,” sambungnya lagi.

Difahamkan, van digunakan itu adalah sumbangan individu perseorangan kepada Masjid Ar-Rahman, Mukim Chiku 3, Gua Musang.

Menurutnya, perkhidmatan van jenazah itu percuma kepada waris yang menetap di sekitar daerah Gua Musang.

“Perkhidmatan ini percuma dan terbuka kepada semua dengan syarat menetap di daerah Gua Musang,” ujarnya.

“Tiada caj dikenakan berikutan adanya sumbangan orang ramai kepada pihak masjid bagi menampung perbelanjaan urusan jenazah ini,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro