Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82 tahun, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI), Perak, selepas mengadu sesak nafas, semalam.

Menurut anaknya, Ahmad Zaini Mohd Daud, 49 tahun, ayahnya mengadu sesak nafas sejak kelmarin dan sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk mendapatkan rawatan.

“Saya bawa ayah ke klinik dan keadaannya nampak beransur pulih, namun pagi tadi dia sesak nafas semula dan tercungap-cungap,” ujarnya.

“Kami segera membawanya klinik dan dihantar ke HTI dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke wad pada 3.15 petang tadi (semalam),” jelasnya.

“Keadaan ayah kini agak lemah namun stabil dan dia juga boleh bercakap,” katanya sambil berharap peminat dapat mendoakan kesihatan bapanya.

Sebelum ini, penyanyi lagu hit Che Mek Molek itu berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Kini, dia yang menghidap penyakit kencing manis itu sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit selain keadaan jantung yang tidak stabil selain kurang pendengaran.

Sumber: Harian Metro