PLUS Malaysia Berhad(PLUS), telah menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya berkenaan bermula hari ini (24 Oktober) sehingga Selasa minggu depan (29 Oktober) bagi melancarkan pergerakan trafik sepanjang musim perayaan Deepavali yang bakal tiba hujung minggu ini.

Menurut kenyataan PLUS, penutupan lorong tambah nilai seperti mana dilaksanakan pada setiap musim perayaan adalah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan pengguna lebuh raya beratur di lorong tambah nilai.

“Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 17 peratus kepada dua juta pada hari-hari puncak iaitu hari esok sehingga Sabtu (25-26 Oktober) dan Isnin (28 Oktober) berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa,” tulisnya.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pengguna yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go (TnG) mereka tidak mencukupi. Ia sudah pasti menganggu keselesaan dan perjalanan pengguna lain,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Berikutan itu, pihak PLUS menasihati pengguna lebuh raya tersebut merancang perjalanan mereka dan menambah nilai kad TnG lebih awal selain memastikan mempunyai baki yang mencukupi.

Untuk pengetahuan anda, penggunaan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini masih belum boleh digunakan dan pengguna lebuh raya PLUS dinasihatkan supaya menambah nilai kad TnG untuk kegunaan di semua transaksi tol di lebuh raya kendalian PLUS.

Sumber: Astro Awani & Bernama