Lisa Surihani, yang merupakan ibu kepada seorang anak meluahkan sifat keprihatinan dengan menyelami isu mengenai anak tidak sah taraf. Demi memperjuang dan mendalami perkara itu, dia telah ke Amsterdam, Belanda.

Lisa berkata, sebagai Duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), isu itu begitu dekat di hatinya, membuatkan dia bertekad memperjuangkan nasib anak yang tidak berdosa.

“Pada awalnya, saya mahu mendalami isu ini sendirian, tetapi apabila mendapat tahu mengenainya, pihak UNICEF memberikan sokongan penuh.

“Saya mahu memahami isu ini dengan lebih jelas, seterusnya bekerjasama dengan badan berkaitan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbaiki, sekali gus meminimumkan masalah ini.

“Sebagai anak, isteri dan ibu, saya sangat tersentuh dengan isu seumpama ini, malah berharap dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Anak tidak sah taraf ini sebenarnya dibelenggu pelbagai masalah, malah paling membimbangkan sekiranya hak mereka dinafikan.

“Bayangkan bagaimana masa depan mereka, sedangkan kanak-kanak ini juga mempunyai potensi sama seperti insan lain,” kata Lisa yang bakal ditemani suaminya, Yusry Abdul Halim sepanjang di sana.

Sejak Lisa menyertai UNICEF, dia berpeluang mengenali ramai aktivis kemanusiaan dan dia juga berharap peluang itu dapat dimanfaatkan untuk terus membantu masyarakat.

“Saya tidak mahu bersendirian dalam perjuangan ini, sebaliknya mengalu-alukan teman artis lain untuk turut serta. Tidak semestinya hanya isu berkaitan kanak-kanak kerana mereka bebas mengutarakan perkara yang membawa ke arah kepentingan sejagat,” katanya.

Sumber: Berita Harian