Seorang pemain kelab bola sepak amatur mati lemas akibat terjatuh ke dalam Tasik Eco Ardence, di Setia Alam, kira-kira pukul 10 malam semalam.

facebook.com

Pemain bagi kelab Sarban FC, Khairul Anuar Hashim atau dikenali dengan nama Boboy, 26 tahun, ditemui kira kira jam 2.35 pagi tadi. Mangsa yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil bola di dalam tasik berkenaan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, memberitahu bahawa mayat mangsa ditemui pada jarak antara 5 dan 15 meter dari lokasi dia terjatuh di tebing tasik.

Gambar sekadar hiasan

“Kesukaran mencari dan menyelamat di kawasan ini adalah kerana kawasan ini, di bawahnya sedikit berselut,” ujarnya.

“Dengan kedalaman tasik sekitar 3 meter, ia menyukarkan sedikit proses menyelamat, ditambah pula kejadian berlaku pada waktu malam,” sambungnya.

Seramai 37 anggota termasuk dari Pasukan Penyelamat di Air(PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Pelabuhan Klang, dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam(APM) terlibat dalam operasi mencari mangsa.

Sebelum kejadian, mangsa difahamkan bermain bola sepak bersama rakan sepasukan di padang berdekatan. Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat.

Sumber: Astro Awani