Seorang pesara, Husni Ismail, 61 tahun, berjaya menghasilkan lemang dengan cara tersendiri iaitu dengan menggunakan kaedah masak dalam tong dram dan dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk menjamu jiran serta jemaah masjid di kawasan perumahannya di Seksyen 19, Shah Alam.

Menurut dia yang juga terkenal dengan skil memasak kari kerisik kambing untuk tempahan majlis kahwin, tahlil serta aqiqah itu, dia mendapat idea tersebut daripada adik iparnya dan kemudian diubahsuai menjadi dapur khas yang menggunakan besi tahan karat tapi masih mengekalkan ciri tong dram.

“Mula-mula saya pakai tong dram tapi saiznya kecil..jadi saya buat rekaan sendiri dengan ukuran yang saya mahu dan menempah alat khas diperbuat dengan besi tahan karat dengan saiz yang lebih besar sedikit supaya dapat dimuatkan lebih banyak lemang di dalamnya,” ujarnya.

“Pada bahagian dalamnya saya buatkan besi seperti sarang labah-labah untuk dijadikan tempat meletakkan sebanyak 50 batang lemang untuk sekali masak,” jelasnya.

Difahamkan, kaedah memasak lebih singkat hanya dua jam sahaja diperlukan dan tidak perlu menunggu lama seperti kaedah memasak lemang secara tradisional yang memakan masa antara empat ke tujuh jam.

“Sekali masak sudah dapat 50 batang. Tapi saya masak lemang hanya untuk makan sendiri dan bukan untuk dijual. Kalau ada yang tempah untuk kenduri seperti tahlil, aqiqah atau nak jamu orang makan khususnya di Surau Hamiddean di sini, saya akan buat,” katanya.

Malah, Husni sangat mengalu-alukan golongan muda yang mungkin berminat untuk belajar kaedah memasak lemang menggunakan dapur khas ala tong dram yang dibuatnya.

“Saya memang tak larat kalau nak masak lemang untuk jual…tapi kalau anak-anak muda yang nak belajar kaedah macam ni, boleh datang tengok dan usahakan sendiri jika mereka nak jual,” sambungnya.

Selain alat bakar lemang, Husni turut mereka dapur khas dengan 10 rak atau dipanggil dapur “Apolo” bagi memasak nasi dan dapur itu boleh memuatkan kira-kira 30 kilogram beras untuk sekali masak selama dua jam.

Sumber: Sinar Harian