Berdasarkan laporan kajian Universiti Charles Sturt, Islamofobia di Australia adalah satu fenomena yang masih berterusan terutama terhadap wanita bertudung.

Menurut pasukan penyelidik kajian itu, mereka mendapati sebanyak 96 peratus daripada 113 mangsa merupakan wanita bertudung.

Terbaru, seorang lelaki di Australia didakwa menumbuk dan memijak seorang wanita Muslim yang sedang hamil dan insiden itu disifatkan sebagai ‘serangan Islamofobia’ oleh sebuah persatuan Islam terkemuka negara berkenaan.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki menyerbu sebuah meja di mana tiga orang wanita bertudung sedang berbual di sebuah kafe di Sydney, dua hari lalu.

Walaupun tanpa provokasi, suspek berusia 43 tahun itu menyerbu ke arah meja terbabit seterusnya menyerang mangsa yang berusia 31 tahun serta hamil 38 minggu.

Selepas ditumbuk beberapa kali, wanita itu rebah dan dipijak, sebelum orang ramai mengambil tindakan menarik penyerang terbabit.

Menurut pihak polis, suspek tersebut sudah didakwa melakukan serangan menyebabkan bahaya kepada tubuh badan dan dia tidak dibenarkan diikat jamin.

Difahamkan, polis enggan mengulas lanjut mengenai motif penyerang itu, namun tidak menolak bahawa beberapa dakwaan tambahan akan dikenakan ke atas suspek.

Walau bagaimanapun, Persekutuan Majlis Islam Autralia(AFIC) menyatakan bahawa lelaki itu melaungkan ucapan kebencian Islam kepada mangsa dan rakan-rakan beliau.

“Jelas ini serangan perkauman dan Islamofobia. Kami mahu ia disiasat sedemikian,” ujar presiden AFIC, Rateb Jneid.

“Jika tidak kerana keberanian masyarakat menghentikan serangan, mangsa mungkin cedera lebih teruk,” kata inspektor polis, Luke Sywenkyj.

Sumber: Berita Harian