Joshua Asare atau lebih dikenali dengan nama Jae Deen merupakan seorang artis terkenal di Amerika Utara dalam genre muzik hip hop atau rap.

Pada mulanya, Jae Deen tampil dalam industri muzik melalui duo yang diberi nama Deen Squad namun kini dia meneruskan perjuangan seninya secara solo. 

Dia juga pernah tampil dalam sesi pembukaan konsert Justin Bieber di Kanada sewaktu bersama Deen Squad dulu selain pernah berduet dengan Harris J serta ramai lagi artis terkenal dari USA dan Eropah. 

Menceritakan pengalamannya memeluk Islam, Jae Deen mula mendapat hidayah dan tertarik dengan agama Islam apabila diperkenalkan dengan Surah Maryam oleh sahabatnya di kolej.

Menurutnya, persamaan yang ada di dalam kisah yang tertulis dalam surah Maryam berkaitan kelahiran Nabi Isa A.S dengan apa yang dipelajari dari agama asalnya telah menarik minat untuk lebih mendalami Al-Quran sehinggalah akhirnya dia memeluk Islam pada tahun 2010.  

Walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarga dan kedua orang tua, Jae Deen tetap meneruskan perjalanan hijrahnya.

Selain itu, dia telah mengambil subjek Kesusasteraan Islam sewaktu di universiti dan banyak mendalami Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama yang diadakan di Kanada.

Pada satu hari, Jae Deen merasa sangat sedih kerana dia tidak memahami apa yang dibacakan imam sewaktu solat tarawih dan mencemburui jemaah lain yang menangis ketika mendengar surah dibaca kerana memahaminya. 

Sejak dari itu, dia nekad untuk mendalami bahasa Arab dan telah mengambil kelas Bahasa Arab Fusha(rasmi).

Mulai hari itu, Jae Deen memulakan usaha menulis ayat-ayat Al-Quran dan terjemahannya setiap hari bermula dari surah Al-Fatihah sehinggalah habis seluruh Al-Quran ke surah An-Nas.

“Pada mulanya, ia sangat sukar dan ada masa-masanya saya sangat kecewa dan hampir putus asa,” ujarnya.

Akhirnya, dia berjaya juga menamatkan usahanya itu dalam tempoh enam bulan dan dia akan berkongsi gambar atau video usahanya itu di media sosial bagi menggalakkan remaja lain juga mendalami Al-Quran pada setiap hari. 

Atas sebab usaha, kegigihan dan pengalamannya dalam memahami dan menyebarkan kefahaman terhadap Al-Quran kepada remaja, Jae Deen telah dikurniakan anugerah “The Quran Light of The People Award” dalam sebuah program konvensyen Islam terbesar di Amerika Utara iaitu MAS ICNA pada tahun 2018. 

Selain itu, dia telah mengambil pendekatan menggabungkan mesej Islam yang hendak disampaikan kepada remaja melalui karya muzik.

Lagu-lagu yang dihasilkan banyak menyentuh isu-isu berkaitan kehidupan Muslim di Amerika seperti isu hijab, perkauman, tekanan mental, wanita Islam dan lain-lain. 

Kini, Jae Deen sedang giat mendalami Bahasa Melayu kerana bakal berkolaborasi dalam single baru bersama artis dari Malaysia.

Sumber: Gempak