Seorang lelaki yang juga pengarah urusan sebuah syarikat, Muhamad Haswadi Ali, 39 tahun, berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki yang mahu dibuang oleh ibu kandungnya sendiri di Taman Tasek Ampang Hilir, Ampang, pada November tahun lalu.

Menurutnya, dia didatangi seorang wanita dipercayai warga Indonesia selepas dia selesai bersenam di tasik tersebut.

“Sebaik sahaja selesai berjogging di tasik ini, saya menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba seorang wanita yang tidak dikenali menghampiri saya dan memperkenal dirinya sebagai Riya,” ujarnya.

“Dia meminta tolong saya untuk menjaga bayi ini dan mengancam untuk membuang bayi ini jika saya tidak ambil,” jelasnya.

Kemudian, wanita tersebut menyerahkan bayinya bersama sebuah beg berwarna biru yang mengandungi butiran peribadi, susu dan barangan bayi kepada Haswadi.

Selepas itu, dia membuat keputusan untuk mengambil bayi berkenaan dan membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya bagi memaklumkan kejadian tersebut.

“Sejak dari itu saya menjaga bayi ini dan mula menganggap bayi ini sebagai anak saya sendiri,” katanya.

Malah, dia berhasrat untuk mengambil bayi lelaki yang bernama Azrill Qayyim Abdullah berusia satu bulan itu sebagai anak angkat.

Haswadi juga telah mendapat kelulusan hak penjagaan sementara selama sebulan daripada Jabatan kebajikan Malaysia (JKM) dan Mahkamah sebelum memperoleh hak jagaan sepenuhnya.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian