Seorang penumpang kapal terbang, Gel Rodriguez dari Davao City, Filipina, membuat keputusan untuk memakai pakaiannya setebal yang boleh selepas kakitangan untuk mendaftar masuk kapal terbang memberitahu bahawa bagasi yang dibawanya telah melebihi had berat yang ditetapkan.

Berikutan itu, Rodriguez enggan membayar caj tambahan dan memakai sehelai demi sehelai baju dan seluarnya sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Usahanya berbaloi apabila kesemua baju yang dipakai dapat mengurangkan berat bagasinya sehingga 2.5 kilogram(kg).

Selain itu, dia turut memuat naik gambarnya yang memakai sekurang-kurangnya tiga pasang seluar panjang dan pendek, lima t-shirt dan tiga jaket di laman Facebook.

Difahamkan, gambar berkenaan tular dan mendapat lebih 20,000 perkongsian serta 32,000 reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

“Apabila kakitangan syarikat penerbangan beritahu hanya 7kg dibenarkan dibawa naik ke dalam pesawat. Saya: Tiada masalah. Bagasi daripada 9kg kepada 6.5kg,” tulisnya.

“Mungkin tidak. Ia sangat panas. Saya juga tidak syorkan orang lain buat begitu,” jawabnya apabila seorang pengguna laman sosial bertanya adakah dia akan melakukannya lagi.

Sumber: Sinar Harian