Dulu seorang perokok tegar, kini Mohamad Hafiz Jalaludin, 30 tahun, yang juga seorang peguam, nekad untuk berhenti merokok sebagai hadiah ulang tahun anaknya yang berusia setahun.

“Tarikh 15 September lalu adalah ulang tahun kelahiran pertama anak saya dan disebabkan dia masih kecil, saya tekad berhenti merokok sebagai hadiah untuknya,” ujarnya.

Hafiz menjadi bualan warga laman sosial di Twitter apabila memuatnaik satu tweet mengenai hasratnya untuk berhenti merokok itu.

“Sebenarnya, hasrat itu (berhenti merokok) sudah beberapa kali tertangguh dan isteri saya, Noradilah Mohd Isa, 30, pernah merungut kerana saya masih berterusan merokok walaupun pernah berjanji untuk berhenti selepas berkahwin,” jelasnya.

“Malah, tabiat itu sudah sebati dengan diri saya dan sebahagian cara untuk menghilangkan tekanan ketika di tempat kerja dan rutin sewaktu keluar makan bersama rakan,” katanya.

“Namun, keinginan berhenti merokok timbul dua hari sebelum ulang tahun kelahiran Norhafizah (anak) dan ia dilakukan dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa,” sambungnya.

Menurutnya, dia mengalami muntah berterusan pada hari pertama dia berhenti merokok selepas menggunakan ubat tampal (koyok) di badannya untuk menghilangkan keinginan merokok.

“Saya ada merujuk masalah itu kepada doktor dan dia mengatakan ia berlaku kerana kesan tindak balas koyok itu terlalu kuat untuk badan saya,” katanya.

“Sebagai alternatif, doktor memberikan ubat tetapi keinginan merokok jadi semakin kuat selepas menanggalkan koyok dan saya cuba kawal diri dengan melayari laman sosial serta melakukan aktiviti lain,” jelasnya lagi.

“Sejak hari pertama, isteri banyak memberi sokongan dan saya berharap misi ini berjaya kerana selain anak, keputusan itu diambil selepas memikirkan kesannya kepada kesihatan diri, keluarga serta individu sekeliling untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro