Dalam dunia serba mencabar ini, masing-masing berlumba untuk bekerja lebih masa atau buat dua pekerjaan dalam satu masa untuk mendapat pendapatan yang cukup buat keluarga tersayang.

Seorang pengguna Facebook, Hafizul Hakim, berkongsi kisah seorang pemandu Orang Kurang Upaya(OKU) e-hailing Grab di Kuching, Sarawak, yang menyentuh hatinya.

Menurutnya, lelaki tersebut kudung sebelah kiri akibat kemalangan dengan sebuah lori treler semasa bekerja sebagai kelindan lori dulu.

Gambar sekadar hiasan

“16 tahun lepas, saya kerja sebagai kelindan lori. Insiden berlaku di Bintulu, lori treler kami berlanggar dengan sebuah lagi treler yang sedang membelok. Pemandu sempat tekan brek tapi putus. Terus rempuh belakang treler, tangan terputus ‘on the spot’,” ujarnya.

“Tak pengsan bang. Masa tu kepala lori dah terbalik, tangan saya tersepit pada pintu lori. Darah memang banyak. Bukan ajal saya lagi,” sambungnya apabila ditanya oleh Hafizul.

Difahamkan, pemandu Grab bernama Galang anak Jabai itu bekerja sepenuh masa menjadi pemandu Grab untuk menyekolahkan anak-anaknya.

Gambar sekadar hiasan

“Sekarang ni tak dapat nak harap bantuan orang lain, sendiri kena usaha. Biar saya kudung, tapi itu bukan alasan saya pengemis. Saya sekolah tak tinggi, tapi tak mahu anak ketinggalan pelajaran. Mana tahu anak saya nanti jadi orang berjaya,” jelasnya.

Walaupun tangannya putus sejak berusia 17 tahun, namun ia tidak menghalang Galang untuk menyediakan keperluan anak-anaknya dengan usaha sendiri.

“Biar saya susah tapi jangan anak tak sekolah. Memang sudah jadi tanggungjawab sebagai seorang bapa. Bukan cari kemewahan, tapi memang lumrah keperluan hidup,” katanya.

Kisah Galang adalah contoh terbaik untuk kita menjadi seorang insan yang lebih baik dengan berusaha bersungguh-sungguh demi kelangsungan hidup walaupun sukar.

Sumber: Fb Hafizul Hakim