Seorang lelaki menaiki motosikal dilihat menjual tudung berhampiran sebuah stesen minyak menarik perhatian ramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sedang berlangsung.

Difahamkan, lelaki itu menjual tudung di Petronas Seberang Jaya, Pulau Pinang. Dia turut meletakkan plakad tertulis ‘saya jual tudung sebab nak beli susu dan pampers anak’ bagi menarik perhatian pengunjung stesen minyak berkenaan.

Seorang pengguna laman Facebook, Alin Taharin, berkongsi kisah lelaki itu memuatnaik beberapa gambarnya dan memberitahu dia menemui lelaki tersebut di stesen minyak dan duduk bersebelahan motosikalnya.

Malah, tudung dilihat tergantung pada motosikalnya dengan sehelai plakad yang diletakkan di atasnya.

Menurutnya, lelaki berkenaan bukan meminta tetapi menjual tudung demi keperluan anaknya.

“Keprihatinan anda membuktikan kemuliaan hati emas,” tulisnya lagi.

Berikutan itu, beberapa pengguna media sosial turut bersimpati dengan usaha lelaki itu dengan memberi pelbagai komen positif.

Seorang pengguna Facebook, Aznizam Razman, merasa sedih kerana ramai orang menerima nasib seperti itu.

Dia mencadangkan supaya duit membeli pampers itu diganti dengan lampin cara dulu-dulu yang boleh dibasuh dan guna semula.

Selain itu, seorang lagi pengguna Facebook, Erry Sham, menyatakan tidak salah untuk kita sama-sama membantu lelaki itu dan sememangnya digalakkan.

Malah, sekiranya dia berada di tempat lelaki itu, dia akan cuba untuk berjimat dan utamakan yang lebih penting seperti susu anak.

Semoga usaha dilakukan lelaki ini berhasil dan keperluan anaknya dipenuhi dengan segera.

Sumber: Harian Metro