Berkat kejujuran seorang lelaki berniaga durian tanpa kulit di bahu jalan Batu 15, Jalan Sintok, Kedah, kini gerainya menjadi rebutan peminat raja buah tersebut.

Mohd Izzuwan Ismail, 30 tahun, menjelaskan bahawa dia memilih untuk menjual isi durian yang baik saja untuk memastikan agar pelanggan berpuas hati.

Menurutnya, dia mendapat idea berniaga dengan cara itu pada bulan lepas iaitu selepas beberapa kali terkena membeli durian buruk.

“Jika saya sendiri pasti merasa marah apabila buka durian yang isinya buruk maka orang lain juga akan ada perasaan begitu juga. Tidak mustahil mungkin ada yang menyumpah seranah peniaga durian sebagai seorang yang tidak jujur,” ujarnya.

“Jadi saya tak mahu perkara itu berlaku kepada saya dan adik-adik yang membantu saya berniaga di sini. Kami mahu pelanggan berpuas hati dan melakukan ‘akad’ jual beli dengan rasa senang hati,” jelasnya.

Dia yang juga bekerja sebagai mekanik motosikal turut menyatakan setiap durian yang diisi dalam bekas akan dijual dengan harga RM25 sekilogram (kg), manakala sebiji durian pula akan dijual bermula dengan harga RM8 sekilogram hingga RM25 mengikut jenis durian.

Tambah anak kedua daripada lapan beradik itu, buah yang dijual terus kepada pelanggan akan dipastikan baik dan jika dia berasa was-was atau mendapati terdapat tanda buruk pada durian itu, dia akan terus membuka buah itu.

“Jika buah itu dari jenis udang merah sekalipun, saya akan buka kemudian saya akan campur dengan buah jenis lain dan tetap dijual dengan harga RM25 sekilogram,” katanya.

“Setakat ini pelanggan banyak yang ulang beli di gerai saya belum ada yang datang merungut. Alhamdulillah walaupun berniaga di hujung kampung saya berjaya jual lebih 200 biji durian setiap hari,” sambungnya.

Difahamkan, duriannya habis dijual lebih awal hari ini berbanding hari lain iaitu pada jam 2 petang selepas Izzuwan mula berniaga pada 10 pagi dan juga sejak pelanggan tular mengenai cara jualan di gerainya semalam.

“Selain menjual durian di gerai, saya turut menjual secara atas talian dan membuat penghantaran ke daerah lain termasuk ke Pulau Langkawi. Sebelum ini, saya dah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi, banyak lagi pesanan yang saya terima,” ujarnya lagi.

Sumber: Harian Metro