Seorang lelaki di Indonesia disebat di hadapan khalayak umum akibat mempunyai hubungan dengan isteri orang, kelmarin.

Mukhlis Muhammad, 46 tahun, dari Majlis Ulema Aceh(MPU) yang turut menggubal undang-undang berkaitan kesalahan zina dikenakan hukuman sebat sebanyak 28 kali dan pasangannya disebat 23 kali semalam.

“Ini adalah undang-undang Islam. Sesiapa harus dihukum jika didapati bersalah walaupun dia adalah anggota MPU,” ujar Timbalan Datuk Bandar Aceh Besar, Husaini Wahab.

Difahamkan, pasangan terbabit ditangkap berkhalwat dalam sebuah kereta yang diparkir di pantai yang menjadi tumpuan pelancong di wilayah itu pada September lalu.

Selain itu, Mukhlis juga akan dipecat daripada MPU dan dia merupakan pemimpin agama pertama yang dikenakan hukuman itu sejak undang-undang Islam dilaksanakan di Aceh sejak tahun 2005.

Sumber: Sinar Harian