Kesesakan lalu lintas bukan sahaja menyebabkan seorang lelaki terlepas jadual penerbangan malah ia turut menyelamatkan nyawanya.

Sony Setiawan yang bekerja di Kementerian Kewangan Indonesia sepatutnya menaiki pesawat Lion Air dari Jakarta ke Pangkal Pinang, awal pagi semalam.

Namun, kegagalan lelaki itu tiba di lapangan terbang pada waktu yang ditetapkan ternyata mempunyai hikmahnya tersendiri.

“Saya biasanya ambil penerbangan JT610, saya dan kawan-kawan saya selalu gunakan penerbangan ini. Tapi pada hari kejadian saya tak tahu kenapa trafik begitu sesak sekali,” ujarnya.

“Biasanya saya tiba di lapangan terbang pada pukul 3.20 pagi, tapi sebab trafik sesak saya tiba 6.20 dan terlepas penerbangan,” jelasnya.

Menurutnya, dia menangis setelah dimaklumkan mengenai tragedi itu dan keluarganya turut terkejut hingga menyebabkan ibunya menangis selepas dimaklumkan bahawa dirinya selamat.

Untuk pengetahuan anda, pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 membawa 181 individu dan lapan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi semalam dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) dalam satu kenyataan berkata pasukan mencari dan menyelamat telah menemui beberapa serpihan dan barang milik penumpang pesawat berkenaan.

Sumber: mStar & People